
Petaling Jaya, 14 Mei 2024 — Sejak pengenalannya pada 2021, Isuzu D-Max generasi ketiga telah menerapkan terma Ryoga—istilah dalam bahasa Jepun yang bermaksud “mengatasi yang lain dan mencapai keagungan.” Dengan sekitar 340,000 unit sudah terjual di seluruh dunia, Isuzu D-Max telah menjadi sebuah trak pikap paling pesat perkembangannya, yang disumbangkan oleh rekabentuk mengagumkan, ciri-ciri cemerlang serta aspek keselamatan canggih. Isuzu D-Max 2024 terbaharu yang diperkenalkan hari ini melonjakkan lagi kedudukannya dengan penampilan segar serta ciri-ciri keselamatan dan prestasi canggih yang telah dipertingkat.
Bercakap ketika majlis pelancarannya, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, model yang diberi kemaskini ini datang dengan unsur rekaan yang tidak hanya memberikan keterampilan yang lebih ketara di jalanan, tetapi juga dengan pelbagai ciri tambahan yang akan membolehkan Isuzu D-Max baharu ini kekal kukuh dan relevan di dalam segmennya.
“Sejak diperkenalkan, Isuzu D-Max generasi ketiga telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada industri, mengimbangkan kekuatan teras Isuzu yang ada sejak dahulu dengan kemajuan teknologi serta aspek pembuatan yang teliti. Model baharu ini meletakkan D-Max satu tahap lebih tinggi dan memberikan pengalaman pemilikan trak pikap yang lebih baik kepada pelanggan,” ujar Okazoe.

Isuzu D-Max 2024 baharu menampilkan bukan sekadar perubahan kosmetik luaran. Beberapa pembaharuan terutama rekaan di bahagian depan dan belakang membawa perbezaan yang ketara, begitu juga dengan rekaan rim dan juga ruang dalaman yang turut diberi perhatian khusus untuk menyuntik kesegaran baharu.
Keseluruhan bahagian depannya menerima sentuhan baharu termasuk kluster lampu utama, bampar, gril dan juga bonet. Semua ini menjadi tumpuan untuk membolehkan Isuzu D-Max 2024 baharu tampil lebih menawan dengan aspek aerodinamik yang lebih baik.
Rekaan rim aloi baharu yang bergaya, rekaan pintu ruangan kargo di belakang yang baharu (dan boleh dikunci untuk X-Terrain), serta gabungan rekaan lampu belakang yang menarik menyumbang kepada penyerlahan gaya terkini Isuzu D-Max.
Di dalam pula, Isuzu D-Max baharu menerima beberapa kemaskini dengan varian X-Terrain yang paling tinggi kini dilengkapi dengan sistem infotainmen 10-inci, kerusi balutan kulit baharu, unsur rekaan klasik origami Miura Jepun serta lampu ambient. Varian flagship X-Terrain telah terbukti menjadi antara trak paling selamat dalam pasaran dengan kelengkapan penuh ciri Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang digabungkan juga dengan penarafan lima-bintang ASEAN NCAP. Model ini menawarkan lebih lagi dengan adanya ciri kamera stereo baharu generasi keempat yang telah diperluaskan lagi pandangannya kepada 120-darjah. Ini membolehkan sistem untuk mengesan dan mengenal pasti jumlah objek yang lebih banyak termasuk pejalan kaki kanak-kanak serta memberikan tindak balas yang lebih tepat dan pantas.

Aspek pemanduan juga diberikan kemaskini dengan tambahan ciri baharu Rough Terrain Mode untuk semua model 4×4 Double Cab. Dengan mengaktifkan mod berkenaan, sama ada dalam pacuan 2H, 4H atau 4L, cengkaman akan dipertingkat dengan sistem menguruskan agihan kuasa secara langsung. Ciri ini akan meningkatkan keyakinan mereka yang tidak begitu arif dengan pemanduan off-road.
Bagi membawakan manfaat pemilikan Isuzu D-Max lebih dekat kepada pelanggan, Isuzu Malaysia kini turut memulakan platform digital baharu yang akan memudahkan lagi pengalaman pembelian pelanggan.
Ini termasuklah seawal proses permulaan yang membolehkan pelanggan memanfaatkan teknologi Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) untuk mengenali ciri dan kelebihan kenderaan tanpa perlu melangkah masuk ke dalamnya.
“Kami percaya pelanggan akan mengenali lebih banyak lagi dengan memanfaatkan teknologi digital semasa. Ini membolehkan kami untuk mempamerkan kemampuan kenderaan kami di mana saja, pada bila-bila masa, baik di rumah mahupun di pusat membeli-belah.
“Peningkatan Isuzu Experience ini termasuklah kemaskini cawangan yang turut menampilkan identiti korporat baharu, laman web intuitif termasuk bilik pameran maya 360-darjah, tetapan baharu untuk siri jelajah yang lebih memukau, serta pengalaman AR dan VR,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.
Untuk berkongsi Isuzu Experience dengan bakal pembeli, Isuzu Malaysia turut mengadakan pelancaran Isuzu D-Max baharu di seluruh negara di semua cawangan pengedar, dengan mereka yang hadir boleh mengalami sendiri pandu uji fizikal atau VR bagi Isuzu D-Max X-Terrain bermula dari 15 Mei hingga 30 Jun 2024 dan berpeluang memenangi hadiah eksklusif.
Harga bagi Isuzu D-Max baharu bermula dari RM98,949.20 untuk varian 1.9 liter Single Cab, sementara varian flagship X-Terrain dijual dengan harga RM157,938.40 atas jalan tidak termasuk insurans di Semenanjung. Untuk maklumat lanjut berkaitan Isuzu D-Max baharu, layari pickuptruck.isuzu.net.my







Leave a comment