Perkembangan baharu dalam industri automotif tempatan cukup rancak dengan pelbagai jenama melancarkan model-model baharu mereka buat pasaran kita di Malaysia melalui tawaran kenderaan elektrik dan juga konvensional. Yang terbaru kami terima adalah kemunculan jenama JAC Motors di Malaysia seperti kami laporkan sebelum ini. Secara khususnya, yang kami nanti-nantikan adalah model T9 dari JAC ini yang mana ia telah muncul di beberapa pasaran antarabangsa dan menerima maklum balas dan penerimaan yang positif setakat ini.

Melalui beberapa info yang diterima, syarikat yang bertanggungjawab bagi membawa masuk jenama JAC di Malaysia terbahagi kepada dua entiti berbeza di mana salah satunya memfokuskan pengedaran kenderaan komersial manakala yang bakal mengedarkan kenderaan dalam segmen pikap seperti T9 ini adalah dari syarikat Evolvelectric Motor yang berpengkalan di Petaling Jaya. Dimaklumkan juga bahawa syarikat tersebut telah memberikan “preview” terhad kepada jemputan khas sebelum ini namun tiada penyebaran maklumat secara terbuka buat masa ini dari mana-mana media tempatan.

Apa yang menarik, Pikap T9 dari JAC Motor Malaysia ini dijangka bakal membariskan dua variant utama iaitu model Elektrik nya dan juga 2.0 liter diesel nya juga. Model JAC T9 ini dilihat mempunyai keupayaan yang sangat menarik dan turut dilengkapi kelengkapan serba canggih seperti yang diharapkan dari mana-mana model kenderaan masa kini. Turut dimaklumkan bahawa model T9 ini juga mempunyai keupayaan sistem bantuan pemanduan atau ADAS pada tahap ke-2. Ini sekaligus memberikan keupayaan yang cukup menyeluruh buat model pikap dari jenama tersebut.

Apa pun, kami bakal berikan kemaskini lanjut tentang model ini sejurus ia rasmi dilancarkan dalam pasaran Malaysia tak lama lagi. Teruskan bersama kami di Drivin On untuk perkembangan kisah ini.

Leave a comment

Trending