Kita sering meluangkan masa berbulan-bulan untuk memilih warna kereta atau membandingkan sistem infotainmen. Namun, aspek keselamatan sering kali menjadi perkara terakhir yang difikirkan. Volvo Car Malaysia bertekad untuk mengubah persepsi ini dengan menganjurkan Selamat Driving Experience pada 16 hingga 17 Mei 2026.

Selamat Driving Experience merupakan sebahagian daripada kempen Selamat yang dilancarkan oleh Volvo Car Malaysia pada Januari 2026 lalu. Kempen ini bermatlamat unutk menjadi keselamatan jalan raya sebagai satu budaya bersama. Selamat bukan hanya berkait dengan keadaan apabila semuanya berjalan lancar, tetapi merujuk kepada perlindungan apabila sesuatu berlaku di luar jangkaan.

Selamat Untuk Semua

Kepentingan Selamat ini didorong oleh satu realiti yang membimbangkan. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 4,428 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan pada tahun 2024, di mana 2,574 daripadanya melibatkan mangsa berusia antara 15 hingga 40 tahun. Walaupun angka ini sangat membimbangkan, ia masih belum cukup untuk menggambarkan penderitaan keluarga yang kehilangan insan tersayang, masa depan yang terpadam, serta trauma emosi yang terpaksa ditanggung oleh mangsa yang terselamat.

Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia berkata: “Hampir setiap hari kami mendapat berita tentang kemalangan jalan raya yang kadang kala meragut nyawa. Kita sering mengambil mudah soal keselamatan, malah bersikap acuh tidak acuh hanya kerana musibah tersebut belum menimpa diri sendiri. Namun, di sebalik setiap angka statistik itu adalah seorang insan yang tidak lagi dapat pulang ke pangkuan keluarga.”

Selamat Driving Experience direka untuk menterjemahkan angka statistik ini kepada suatu bentuk kesedaran yang mendalam. Melalui simulasi pemanduan yang imersif, kami mahu mencetuskan kesedaran para peserta agar mereka menilai semula tabiat di jalan raya serta memahami kesan buruk yang timbul akibat sikap sambil lewa,” tambahnya.

Selamat Driving Experience mendedahkan realiti sebenar di jalan raya: sebilangan pemandu berdepan detik cemas yang mengubah hidup mereka dalam sekelip mata, manakala ada pula yang terkesan dalam insiden yang sebenarnya boleh dielakkan. Bagi pemandu yang belum pernah mengalami situasi kritikal, mereka sering kali mempunyai persepsi keselamatan yang kurang tepat tanpa menyedari betapa pantasnya sesuatu musibah boleh berlaku.

“Walaupun tanggungjawab utama mengendalikan kenderaan terletak pada pemandu, peranan Volvo sebagai penanda aras keselamatan automotif global adalah untuk melindungi setiap individu di dalam mahupun di luar kenderaan. Ini adalah komitmen kami dalam membentuk ekosistem jalan raya yang lebih selamat. ‘Selamat’ adalah tanggungjawab kita bersama, dan misi kami adalah untuk memastikan setiap pemandu dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” tambah Yaw.

Acara ‘Selamat Driving Experience’

Inisiatif ini merupakan salah satu daripada pelbagai usaha Volvo Car Malaysia untuk mengubah keselamatan jalan raya daripada sekadar senarai spesifikasi di atas kertas kepada satu budaya yang dikongsi bersama. Berpaksikan prinsip “Selamat untuk Semua”, inisiatif ini bertujuan memperkasakan setiap pemandu — tanpa mengira jenama kereta yang dipandu — untuk memandu dengan penuh keyakinan dan ketenangan fikiran.

Bakal berlangsung di Driving Experience Centre, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), acara ini merupakan jemputan terbuka daripada Volvo Car Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia. Anda dijemput untuk keluar daripada kesesakan trafik harian dan turun ke litar bagi merasai sendiri pengalaman dilindungi sepenuhnya apabila berlaku perkara yang tidak diingini di jalan raya.

Bagi mereka yang berminat, pendaftaran boleh dibuat melalui volvocarmalaysia.com/selamat-driving-experience. Penyertaan adalah terhad kepada 192 peserta sahaja berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat. Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM300 untuk bukan pemilik Volvo, RM150 untuk pemilik Volvo, dan RM100 untuk tetamu yang tidak mengambil bahagian dalam pemanduan.

Setiap pemilik kereta Volvo hanya dibenarkan menggunakan nombor VIN yang didaftarkan sekali sahaja. Atas faktor keselamatan litar dan jadual yang padat, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ke acara ini.

Sepanjang acara dua hari tersebut, para peserta dapat merasai pengalaman berdepan situasi cemas dalam persekitaran yang selamat dan terkawal di bawah pengawasan tenaga pengajar pemanduan profesional yang bertauliah. Ini adalah peluang yang jarang ditemui untuk menguji sendiri ciri keselamatan tercanggih Volvo, termasuk Safe Space Technology terbaharu yang menggunakan data dunia sebenar dan kecerdasan buatan (AI) untuk meramal, menyesuaikan diri, serta mencegah risiko sebelum ia berlaku.

Dengan mendemonstrasikan ciri-ciri keselamatan ini dalam senario simulasi, pengalaman interaktif ini mengubah spesifikasi teknikal yang kaku menjadi peringatan nyata bahawa setiap keputusan pemanduan membawa kesan yang besar kepada semua orang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Selamat Driving Experience, sila layari volvocarmalaysia.com/selamat-driving-experience atau ikuti kami di Facebook di bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di bit.ly/VolvoMY-IG.

Leave a comment

Trending